skip to Main Content
10 Tips Mencari Keberkatan Rezeki

10 Tips Mencari Keberkatan Rezeki

10 TIPS MENCARI KEBERKATAN REZEKI

 

Allah SWT memerintahkan hambanya untuk rajin bekerja dan berusaha bagi mendapatkan rezeki yang halal dalam kehidupan. Dengan rezeki yang halal, manusia dapat bersedekah bagi mendapatkan keberkatan harta benda serta memperoleh pahala. Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an Surah Al-Baqarah, ayat 262:

 

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan mengungkit-ungkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan bersedih”.

 

Ayat di atas menunjukkan bahawa rezeki yang berkat adalah rezeki yang dibelanjakan pada jalan Allah SWT untuk kemanfaatan sesama manusia. Adapun tips untuk mendapatkan keberkatan rezeki dan harta benda tersebut di antaranya adalah:

 

 

1. Berusaha dengan rajin dan gigih untuk mendapatkan rezeki yang halal dengan cara bekerja yang menepati syariat Islam. Seperti jujur, amanah, rajin, disiplin dan lain sebagainya.

2. Memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas nikmat kurniaan rezeki yang diberikan kepada kita

3. Bersikap Redha dan Qana’ah dengan apa yang ada yang kita miliki dan jangan tamak dengan yang tidak ada di tangan kita.

4. Belanjakan harta yang halal tersebut pada jalan yang benar yang di redhai Allah SWT seperti sedekah, wakaf, hibah dan lainnya.

5. Keluarkan sedekah wajib berupa zakat fitrah dan zakat harta yang telah sudah memenuhi syarat yang ditentukan syara’ seperti haul dan nisabnya (cukup tempoh dan batasannya).

6. Memperbanyakkan sedekah yang sunnah bagi menambahkan keberkatan rezeki kita.

7. Ikhlaskan sedekah yang kita berikan semata-mata kerana Allah SWT, bukan untuk mengharapkan pujian orang atau mencari populariti murahan.

8. Berikan sedekah sunnah secara rahsia untuk mengelakkan perasaan sombong dan riya’ serta berikan sedekah yang wajib (zakat harta benda) secara terang terangan untuk menegakkan kebenaran dalam syariat Islam.

9. Berikan sedekah tersebut dari sesuatu yang terbaik yang kita miliki untuk menambahkan lagi keberkatan rezeki kita. (Surah Ali Imran ayat 92).

10. Berikan sedekah yang sifatnya tahan lama dan berpanjangan demi kemanfaatan umat (sedekah jariah).

 

Back To Top