5 Langkah Khusyuk Di Dalam Solat


Alhamdulillah, kalau sekarang kita tengok ramai yang dah mula sedar yang mana solat tu penting dalam kehdiupan seharian kita. Solatlah yang jadi tiang untuk segalanya. Kalau tak solat ni ibarat macam kita kerja tapi tak dapat apa-apa. Tak solat boleh buatkan hidup kita terumbang-ambing seperti tiada pegangan. Tahniah pada anda yang sama-sama berusaha untuk menjaga tiap solat ?

Namun, berkenaan dengan solat tak dapat disangkal lagi masih ramai yang masih mencari kekhusyukan dalam mengerjakannya. Solat yang khusyuk boleh dimiliki apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat. Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu yang tak semua orang dapat merasainya.

Jadi, InsyaAllah entry kali ini admin share kan pada anda semua antara langkah-langkah yang bolehkita amalkan untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat.

1. Mencari Pengertian Bacaan Dalam Solat

  • Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat. Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu per satu. Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.

2. Fikiran Fokus

  • Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.
  • Mungkin kita telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama “orang mengigau” dalam tidur. Sekiranya seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat (mengingati Allah).

3. Membesarkan Allah

  • Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah “Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala makhluk.
  • Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat. Oleh itu pada peringkat permulaan, cubalah untuk merasakan kita sedang berhadapan seorang raja yang sangat berkuasa dan kita perlu fokus dihadapanNya.

4. Rasa Malu dan Hina Diri Dalam Solat

  • Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah. Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu.
  • Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir dan banyak “berhutang” kepada Allah. Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud).

5. Kagum dan Takut akan Keagungan Allah

  • Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya. Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.

Untuk akhirnya, sama-samalah kita menjaga solat, kerana disitulah terletaknya hubungan seseorang hamba dengan pencipta-Nya.

Sumber: akuislam