skip to Main Content

Resepi Pilihan: Popia Basah

Ada penggemar popia basah? Sudah tentu ramai di antara kita yang begitu menggemari popia basah sehingga sanggup mencarinya walaupun jauh terutama di tempat yang popular dan sedap.

Popia basah mempunyai tiga bahagian utama iaitu  kulit, inti dan sosnya. Kesedapan popia basah pastinya terletak pada bagaimana anda membuat popia basah itu. Kini, anda boleh membuat popia basah itu sendiri dengan resepi mudah! Kulit popia basah juga mudah didapati di pasaraya dan jika anda inginkan lagi kesedapan kulitnya, anda juga boleh cuba membuatnya sendiri.

 

Untuk Kulit Popia Basah:

Bahan-bahan

  • 1 kg tepung gandum
  • 1 biji telur (telur putih sahaja)
  • 5-7 sudu makan minyak masak
  • 5 camca teh garam atau secukupnya
  • 4 1/2 cawan air

 

Cara Membuat Kulit Popia Basah:

  1. Masukkan air, putih telur, minyak masak dan garam kedalam mangkuk adunan dan kacau sehingga sebati.
  2. Kemudian tambahkan tepung gandum dan gaulkan. Pastikan adunan tepung tadi akan terbentuk seperti gam.
  3. Tutup adunan dan biarkan sekurang-kurangnya setengah jam.
  4. Pastikan anda menggunakan kuali leper dan tiada kesan minyak. Panaskan kuali dengan api sederhana kecil, sapukan adunan tepung bebentuk bulat ke atas kuali leper.
  5. Biarkan kulit popia masak dalam masa baberapa saat.

 

Sos Popia Basah

Bahan-bahan

  • 1 biji bawang besar dikisar
  • 3 ulas bawang putih dikisar
  • 4 sudu makan udang geragau (dikisar kering)
  • 3 senduk masak cili kisar (tambahkan jika anda mahu ia lebih pedas)
  • 1 sudu sos tiram
  • 1 sudu kicap cair
  • 3 sudu gula merah
  • Garam secukupnya
  • Gula secukupnya
  • Secubit asam jawa
  • 1 1/2 mangkuk air
  • Tepung jagung (dibancuh dengan air)

 

Cara membuat:

  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau, masukkan cili kisar dan tumiskan sehingga garing.
  2. Kemudian masukkan udang kering (tumis juga).
  3. Masukkan sedikit air dan kacau rata. Kemudian tambahkan sos tiram, kicap cair dan gula merah. Masukkan air, garam, gula dan asam jawa kacau dan biarkan mendidih.
  4. Setelah mendapatkan rasa yang anda kehendaki masukkan tepung jagung dan kacau sehingga mendapat kepekatan yang anda kehendaki.

 

Take Note!

Rasa yang sesuai untuk sos popia adalah manis, sedikit masam, sedikit pedas dan yang terpenting adalah rasa udang geragau.

 

Inti Popia Basah

Bahan-bahan

  • 1 biji  bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/4 inci halia
  • 3 sudu makan udang (kisar)
  • 1 batang lobak merah
  • 200 gram taugeh
  • 1 biji sengkuang cina
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya

 

Cara membuat

  1. Tumis bawang besar, bawang putih dan halia sehingga naik bau, masukkan udang geragau kisar dan tumis hingga sedikit garing.
  2. Tambahkan lobak merah dan sengkuang cina. Biarkan sehingga sedikit lembut, masukkan taugeh, garam dan gula.
  3. Kacau dan biarkan sehingga cukup masak.

 

Menyediakan Popia Basah:

Bahan-bahan

  • Kulit popia
  • Inti popia
  • Sos popia
  • Kobis (dimayang halus)
  • Kacang tanah goreng (tumbuk/kisar)
  • Bawang goreng (dikisar)
  • Daun bawang (dipotong halus)

 

Cara Membuat

  1. Sapu rata sos popia pada kulit, taburkan sedikit kobis, kacang tanah goreng dan bawang goreng. Letakkan inti popia kemudian gulungkannya.
  2. Untuk menambah rasa yang lebih hebat, sapukan sos keatas popia basah yang siap digulung dan taburkannya sedikit kacang tanah goreng dan bawang goreng.
Back To Top