skip to Main Content

Persediaan Meninggalkan Ramadhan Vs Persediaan Menyambut Syawal

Meninggalkan Ramadhan. Menyambut Syawal. Bunyi macam sama kan? Tapi malangnya tak. Kalau bercakap tentang persediaan menyambut Syawal, masyarakat kita begitu meriah dan gah dalam merancang. Punyalah teliti dalam mengatur mahu raya di mana, mahu pakai pakaian yang macam mana, mahu makan lauk apa.

Tapi berapa banyak sahaja yang kita terfikir untuk berfikir apakah yang harus kita lakukan untuk bersedia meninggalkan Ramadhan? Jadi, apa yang saya ingin sebutkan dengan ‘bersedia meninggalkan Ramadhan’? Kita sudah sedia maklum bahawa Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati, rahmat mencurah-curah dari pintu syurga yang terbuka luas, syaitan-syaitan diikat dan dibelenggu daripada mengganggu ketenteraman manusia untuk beribadah tanpa rasa payah.

Ambillah pengajaran.

Dalam memerangi nafsu dan syaitan ini, kita tak boleh lalai. Kita mesti sentiasa bersedia, dan membuat persediaan. Mungkin adakalanya kita kalah. Adakalanya kita menang. Namun, apakah yang kita sudah persiapkan dalam menghadapi pertarungan ini?

Jadi, marilah kita cuba melihat pada amal kita, bagaimana strategi kita untuk mengekalkannya? Bacaan Al-Quran berapa bagaimana, zikir harian bagaimana, penghayatan dalam ibadah itu bagaimana, pencarian ilmu itu bagaimana, dan tulislah lagi apa yang kita nak dengan panjang berjela. Dan salah satu solusi yang ingin saya kemukan kali ini ialah membuat mutabaah amal untuk bulan yang akan datang. Amalan yang mana kita rasa boleh istiqamah dan beramal dengannya dengan penuh penghayatan? Tulislah pada mutabaah itu. Tidak usah banyak-banyak. Biarlah sedikit ikut kemampuan kita. Kerana Allah menyukai amal yang istiqamah walau sedikit. Dan apabila kita lakukan amal secara berterusan, insyaAllah kita akan ada rasa ingin menambah amal kita sedikit demi sedikit.

Akhir kata, jangan malas! Cukuplah sudah kita dengan sifat bermalas-malasan. Bukankah kita mahu masuk syurga? Bukankah kita mahu redhaNya? Cukupkah dengan hanya berangan-angan itu kita akan beroleh kemenangan di sana? Kemalasan itu adalah hasil tarbiyah Syaitan Ar-Rajin atau lebih dikenali sebagai Syaitan Ar-Rajim. Mereka begitu rajin untuk menyesatkan kita, begitu rajin untuk membisikkan kelalaian dalam diri kita. Maka, kita pun haruslah rajin dalam menangkis serangan mereka, haruslah rajin dalam memohon perlindungan dariNya. Kalau kita boleh merancang untuk meraikan 1 bulan Syawal, kenapa tak boleh pula merancang juga untuk bulan-bulan seterusnya? Raikanlah Syawal ini sebaiknya, tetapi nilai-nilai yang kita peroleh di bulan Ramadhan janganlah kita lupa begitu sahaja.

 

Moga Allah memberi kita kekuatan supaya hasil tarbiyah Ramadhan ini menjadikan kita manusia yang lebih baik pada bulan yang akan datang. Seterusnya lebih baik pada Ramadhan akan datang, dan lebih baik pada bulan seterusnya. 

Back To Top