skip to Main Content

Amalan Ziarah Penghubung Silaturrahim

Alhamdulillah, kita semua baru sahaja sama-sama merayakan Aidil Fitri dalam suasana yang meriah dan mengembirakan, di samping puasa di bulan Ramadan kita lalui dengan jayanya, mudah-mudahan segala amal ibadah kita di sepanjang Ramadan yang lalu diterima Allah SWT dan kita mengharapkan untuk hidup kita berterusan dalam ketaatan dan keredhaan Allah SWT.

 

  • Hari ini  masih lagi terasa kehangatan suasana hari raya dengan amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung antara satu sama lain. Kerana itu, adalah sangat rugi sekiranya kita tidak mengamalkan budaya amalan ziarah menziarahi sesama kita, khususnya saudara kita yang dekat mahupun yang jauh, termasuk menziarahi guru-guru, jiran tetangga, rakan-rakan sepejabat dan sebagainya.

 

  • Amalan ziarah amat dituntut dalam Islam dan dikatakan bahawa seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya sekiranya ia tidak menghubungkan silaturrahim sesama mereka. Amalan ziarah atau kunjung mengunjung merupakan salah satu cara mengerat dan mengukuh tali silaturrahim sesama kita.

 

  • Amalan ziarah juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan yang dinamakan hubungan silaturrahim.

 

  • Namun, yang mengecewakan serta amat mendukacitakan kita, di mana terdapat sebahagian di kalangan umat Islam atau sahabat-sahabat kita pada hari ini kurang memberi perhatian terhadap amalan ziarah menziarahi terutamanya menziarahi saudara-saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga dan sebagainya di luar musim-musim perayaan atau sambutan-sambutan tertentu.

 

  • Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi yang diamalkan sempena sambutan perayaan sahaja seperti hari raya puasa yang sedang kita raikan ataupun hari raya haji semata-mata. Akibatnya amalan ziarah semakin hari semakin terhakis dan diabaikan dalam keluarga dan masyarakat kita dengan alasan kesibukan dengan tugas-tugas harian dan sebagainya. Melalui amalan ziarah juga, hubungan sesama manusia menjadi erat dan bertambah ikrab. Ini disebabkan asal kejadian manusia dari keturunan yang satu iaitu dari keturunan nabi Allah Adam AS, dengan sebab itulah Islam mengajak manusia supaya saling kenal mengenal antara satu sama lain, hormat menghormati, saling bekerjasama dan faham memahami.

 

  1. Untuk itu, bagi sesetengah manusia yang hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya mereka suka mencari kesalahan orang lain, atau suka mencaci, membuat fitnah, mencerca orang lain, bersifat hasad dengki, bersifat khianat, melakukan kezaliman dan sebagainya.

 

  1. Mereka ini boleh digolongkan sebagai orang yang menurut jalan syaitan, yang sentiasa berusaha merosakkan manusia untuk memutuskan hubungan silaturrahim serta mengajak hidup bermusuhan.

 

  1. Marilah sama-sama kita menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturrahim dan kasih sayang sebagai umat Islam yang bersaudara, iaitu persaudaraan bukan sahaja di dunia ini bahkan persaudaran sampai ke akhirat. Insyaallah, mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita, melapangkan segala kesulitan, membukakan pintu rahmat-nya, mengurniakan kita kehidupan yang damai dan tenteram.

 

Back To Top