4 Keistimewaan Bersifat Ikhlas Kerana Allah

4 KEISTIMEWAAN BERSIFAT IKHLAS KERANA ALLAH

 

Sifat ikhlas sangat istimewa. Barang siapa yang berjaya memupuk sifat ikhlas dalam dirinya, makan beruntunglah seseorang itu. Ini kerana terdapat banyak keistimewaannya yang akan memberi kesan yang baik dalam kehidupan seharian kita. Kehadiran sifat ikhlas kerana Allah dalam diri seseorang individu akan mempengaruhi segala amalan yang dilakukannya di mana ia akan mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t sendiri. InsyaAllah.

 

Bukan itu sahaja, dengan adanya sifat ikhlas dalam diri juga akan membuatkan seseorang itu teguh keperibadiannya. Segala amalan yang dilakukan akan rasa tenang sahaja walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan tersendiri. Antara keistimewaan lain bagi sesiapa yang bersifat ikhlas kerana Allah adalah ;

 

 

1. Menjauhkan Sifat Berpura-pura

Sememangnya menjadi lumrah manusia jika melakukan kebaikan mereka inginkan pujian, dipandang hebat oleh manusia, mendapat ganjaran keduniaan seperti pangkat, darjat malahan harta benda. Diri akan merasa bangga dan puas jika mendapat ganjaran keduniaan yang diimpikan. Alangkah ruginya golongan yang hanya mendapat kelebihan dunia, di sisi manusia. Namun di sisi Allah SWT semuanya kosong dan tidak bermakna. Setiap amalan yang dilaksanakan, jika tiada keikhlasan hanyalah sesuatu yang hipokrit dan berpura-pura. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan perkara yang dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka”. (Riwayat Baihaqi).

 

 

2. Membunuh Sifat Riya’

Sifat riya’ boleh memusnahkan pahala amalan yang dilakukan. Sekiranya melaksanakan sesuatu perkara di hadapan orang lain, perkara tersebut dilakukan dengan sebaik mungkin supaya nampak cantik pada pandangan manusia. Namun, bila bersendirian dan tidak diketahui oleh orang lain, perbuatannya hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga”, tidak bersungguh-sungguh dan tidak sempurna. Sifat suka menunjuk-nunjuk ini dapat dihapuskan sekiranya disertai dengan keihklasan niat kerana Allah SWT.

 

 

3. Membentuk Jiwa yang Kental

Seorang yang ikhlas, terselit dalam setiap amalannya niat melakukan kerja kerana Allah SWT. Dalam setiap detik kehidupan pula tidak semua perkara yang dilaksanakan meraih kesempurnaan. Ada cacat cela dan kekurangan yang boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan pelakunya. Justeru, dengan keikhlasan akan terbentuk jiwa yang kental, tidak mudah mengalah dengan ujian dan kepayahan. Sekiranya kecewa pada sesuatu masa, jiwa yang ikhlas akan segera terubat kerana yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Secara tidak langsung, individu yang ikhlas akan kembali bangkit untuk melaksanakan yang terbaik kerana Allah SWT tanpa terus menerus terkurung dengan kekecewaan yang telah berlaku.

 

 

4. Memupuk Sifat Redha dan Tenang

Dunia adalah pentas ujian. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “ Kami beriman” sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan?”. Bagi insan yang ikhlas menjalani kehidupannya, sudah pasti mereka akan sentiasa tenang walaupun terpaksa melalui kepayahan dan dugaan yang hebat. Mereka akan tetap meneruskan kehidupan dengan hati yang lapang dan redha dengan ketentuan-Nya di samping sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

 

 

Umumnya mengetahui sifat ikhlas ini adalah suatu sifat yang baik. Tidak dapat dinafikan untuk menyemai sifat ikhlas dalam diri bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, bersama-sama lah kita berusaha dalam memupuk difat ikhlas dalam diri dengan melakukan sesuatu kerja atau amalan adalah ikhlas kerana Allah.

 

 

 

Sumber: Rahmanbashri