Bagaimana Kanak-kanak Mempelajari Bahasa

Bagaimana Kanak-kanak Mempelajari Bahasa

 

Pembelajaran Bahasa oleh kanak-kanak merupakan satu proses pembelajaran yang kompleks. Kanak-kanak akan melalui fasa kepandaian petah bercakap secara berperingkat dan keadaan ini memakan masa yang panjang. Kebiasaanya kanak-kanak mahir bercakap seawal usia 5-6 tahun. Namun, ada juga yang berumur 3 tahun sudah petah bercakap tapi ada juga pada usia ini anak-anak mereka baru mula nak bercakap.

Jadi, keadaan ini agak merunsingkan ke dua ibu bapa terhadap perkembangan anak-anak mereka. Proses  penguasaan bahasa sebenarnya banyak bergantung kepada faktor–faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa.

 

Asas Pembelajaran Bahasa

Terdapat tiga asas pembelajaran yang akan membantu kanak-kanak untuk mempelajari Bahasa iaitu Kemahiran mendengar, memahami dan bertutur. Ke tiga-tiga kemahiran ini saling berkait antara satu sama lain di mana  kemahiran mendengar dan memahami adalah proses pemerolehan maklumat. Manakala kemahiran bertutur pula merupakan proses penghasilan maklumat.

 

Kemahiran mendengar

Kemahiran mendengar merupakan titik permulaan pembelajaran bahasa bagi kanak-kanak. Kemahiran ini merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mereka  mengeluarkan bunyi awal.

 

Kemahiran memahami maklumat

Kanak-kanak mula mengaitkan objek dan perkataan ketika berumur satu tahun. Pada ketika  ini mereka mula mengenali objek yang selalu dilihat dan arahan mudah.  Kanak-kanak memahami lebih banyak objek, arahan dan gambar apabila berumur 2 tahun. Ketika kanak-kanak berumur 2 hingga 3  tahun, mereka akan mula menggunakan memori dan belajar memahami arahan 2 langkah.

 

Kemahiran bertutur

Semasa bertutur seseorang akan  menggerakkan alat pertuturan untuk menghasilkan bunyi yang bermakna.   Proses bertutur tidak hanya terhad kepada penghasilan bunyi sahaja tetapi juga melibatkan penggunaan nada dan intonasi yang bersesuaian.

 

Faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran Bahasa

 

Kognitif: Kebolehan kognitif merujuk kepada kebolehan kanak-kanak untuk berfikir. Sekiranya kanak-kanak mempunyai kebolehan kognitif yang rendah, proses penerimaan dan pembelajaran akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Fizikal: Terdapat banyak organ yang membantu dalam menghasilkan bunyi  pertuturan. Organ seperti telinga, peti suara, lidah, mulut, gigi dan lelangit membantu dalam penghasilan bunyi bahasa yang normal. Sekiranya kanak-kanak mempunyai ketidaknormalan pada organ pertuturan, kejelasan bunyi pertuturan akan terjejas.

Persekitaran: Faktor persekitaran merujuk kepada individu yang berada di sekeliling kanak-kanak termasuklah keluarga, penjaga, guru serta  rakan-rakan.  Kepentingan individu ini adalah untuk memberikan rangsangan bahasa pada kanak-kanak.  Mereka merupakan sumber rujukan awal pembelajaran bahasa kanak-kanak. Walaupun begitu, terdapat  juga faktor-faktor  lain yang mempengaruhi  pembelajaran bahasa kanak-kanak seperti tahap pendidikan, sosioekonomi penjaga dan budaya  keluarga.

Perkembangan neurologi berlaku dengan pesat sehingga kanak-kanak mencapai umur 7 tahun. Perubahan yang berlaku pada saiz, berat dan pertumbuhan otak meningkatkan kebolehan berfikir kanak-kanak. Oleh itu rangsangan bahasa pada ketika ini amat penting. Kanak-kanak lebih mudah memahami dan mempelajari stimulasi yang diterima daripada persekitaran dalam tempoh kritikal ini.

 

Sumber : MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia