Suri Rumah Jutawan Nurraysa

Dari suri rumah, kini lahirkan usahawan jutawan wanita Nurraysa

Suri Rumah Jutawan Nurraysa
AZIZAN Osman (kanan) bersama Nor Aini Zolkepeli (tengah) dan Saiful Anuar Seliman (kiri) pada program Jerayawara Jutawan Wanita di Ibu Pejabat Nurraysa di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

KUANTAN: Siapa sangka daripada seorang suri rumah yang langsung tiada asas dalam bidang perniagaan, pemilik Nurraysa Global Sdn. Bhd., Nor Aini Zolkepeli yang dibantu suaminya, Saiful Anuar Seliman kini bergelar jutawan.

Selain membantu lebih 150,000 dropship, Nurraysa telah melahirkan tujuh jutawan wanita bersama syarikat produk kosmetik tersebut.

Pengasas RichWorks International Sdn. Bhd. dan mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, Nor Aini bukan saja bangkit mengubah hidup mereka sekeluarga malah membantu orang lain terutama suri rumah.

Menurutnya, beliau teringat bagaimana kisah perjalanan Nor Aini dan Saiful Anuar ketika mereka pertama kali datang ke program RichWorks pada 2012.

“Mereka membuat keputusan datang ke program kita (RichWorks) dan belajar pada masa itu walaupun terpaksa bergilir keluar masuk dewan bagi menjaga anak yang ketika itu masih kecil.

“Keputusan itu akhirnya membuatkan mereka berjaya mengubah kehidupan sendiri malah orang lain melalui perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Jerayawara Jutawan Wanita di Ibu Pejabat Nurraysa di Indera Mahkota sini hari ini.

Azizan bersama 38 usahawan jutawan di bawah bimbingan RichWorks hadir sama bagi melihat gerak kerja dan pengoperasian Nurraysa yang ditubuhkan pada 2001 dengan lebih 6,000 usahawan di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, dulu Nor Aini dan Saiful Anuar juga berdepan isu sama dihadapi ramai orang di luar sana iaitu rasa percaya yang terhad.

“Ini antara isu dihadapi ramai orang dan sebab itu mereka perlu pecahkannya melalui ilmu dan pengalaman dikongsikan usahawan jutawan yang dibawakan dalam program Wanita Bangkit Berniaga pada hujung bulan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Nor Aini memberitahu, niat utama membantu suami menjadi pendorong dia berjaya mengubah kehidupan keluarga sehingga bergelar seorang jutawan pada ketika ini.

“Disebabkan kesusahan yang dihadapi membuatkan saya tekad untuk berubah dan berusaha bersungguh-sungguh bagi membantu keluarga.

“Alhamdulillah, daripada niat hanya untuk membantu keluarga sendiri, saya bersama pasukan Nurraysa dapat membantu keluarga lain yang juga berdepan kesusahan,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, layari laman web wanitabangkitberniaga.com dan berpeluang mendapatkan buku 100 Usahawan Jutawan sempena hari lahir Azizan pada 14 November lalu.