Tazkirah Ringkas: Kelebihan Bersedekah

KELEBIHAN BERSEDEKAH

 

Sedekah adalah suatu amalan yang sangat mulia di sisi Islam. Setiap sedekah yang kita hulurkan, pasti akan diberikan ganjaran yang tidak terhingga, malah dosa kita juga turut terhapus disebabkan sedekah itu. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

 

Selain itu, sedekah juga akan memberi keberkatan pada harta kita. Dengan adanya keberkatan, harta yang sedikit seolah-olah dirasakan banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan, harta yang banyak dirasakan seakan-akan sempit serta tidak mencukupi meskipun memiliki harta yang banyak dan melimpah ruah. Hayatilah sabda nabi s.a.w yang bermaksud:

Harta tidak akan berkurang dengan sedekah (Hadis Riwayat Muslim)

 

Oleh itu, sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, marilah bersama kita meringankan tangan untuk bersedekah semampu yang mungkin, menyediakan juadah berbuka puasa kepada jiran ataupun saudara segama kita dan sebagainya. Ingatlah ganjaran yang disebutkan oleh nabi s.a.w yang bermaksud:

Sesiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya (Hadis Riwayat Imam Ahmad & At-Tirmizi)