Tips Penjagaan Wajah Cara Alami Sebelum Hari Pernikahan
Bakal raja sehari pastinya sibuk menguruskan persiapan menjelang hari bahagia yang bakal tiba. Dalam kesibukan tersebut, kadangkala meyebabkan bakal pengantin ini sering mengabaikan penjagaan wajah.
Untuk tampil berseri dan menawan di hari bahagia, bakal mempelai harus menitikberatkan penjagaan wajah agar tidak kelihatan kusam dan tidak bermaya di majlis tersebut.
Entri kali ini admin akan berkongsikan beberapa tips penjagaan wajah agar kelihatan lebih berseri di hari pernikahan.
Melembapkan Kulit Dengan Air Kelapa
Terdapat banyak manfaat daripada air kelapa dan salah satunya adalah untuk melembapkan wajah, memutihkan muka dan dapat mengatasi masalah berminyak. Ambil air kelapa dari buah kelapa tua dan usapkan ke muka. Ulangi proses ini beberapa kali dan akhir sekali bilas muka dengan air.
Melicinkan Kulit Dengan Buah Tomato
Potong buah tomato menjadi separuh. Kemudian hiris nipis-nipis sebahagian buah tomato dan tepekkan pada muka. Biarkan ianya kering selama 20 minit dan bilas muka dengan air sejuk. Amalkan 2/3 kali seminggu, inshaAllah wajah anda akan kelihatan lebih licin dan kemerah-merahan.
Minum Air Putih Secukupnya
Terdapat banyak khasiat yang boleh kita perolehi apabila minum air putih. Dengan adanya kandungan air yang cukup dalam tubuh badan, ianya dapat mengekalkan keserian muka agar nampak sentiasa berseri-seri. Lazimkan diri anda minum segelas air kosong (suam) selepas bangun tidur sebelum anda menggosok gigi dan mandi. Cara ini mampu melancarkan perjalanan darah. Amalkan pada setiap hari dan anda pasti dapat melihat perubahan pada wajah anda.
Menggunakan Timun Sebagai ‘Eye Mask’
Hiriskan timun, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis. Tekapkan hirisan timun di mata anda selama 30 minit. Kemudian, basuh muka dengan air. Cara ini dapat menghilangkan lebam di bawah mata akibat tidur lewat atau mata penat serta membantu anda menghilangkan mata rasa lesu dan letih.
Menghilangkan Parut Di Muka
Tumbuk kulit kayu manis sehingga lumat. Campurkan serbuk ini dengan sedikit air dan bancuh dengan bedak sejuk. Setelah sebati, sapukan di bahagian yang berparut. Petua ini juga sesuai untuk menghilangkan bintik-bintik hitam dan jerawat di wajah.
Melebatkan Bulu Mata Menggunakan Minyak Zaitun
Cara-caranya adalah dengan mencelupkan putik kapas pada minyak zaitun dan oleskannya pada bulu mata sebelum tidur. Biarkan semalaman dan pada keesokkan harinya cuci menggunakan air.
Sumber: Hijabista Karangkraf