5 ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT
Islam sangat mengambil berat kepentingan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama muslim. Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam untuk mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturrahim sesama muslim itu ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah salah satu hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.
Menziarahi orang sakit bukan hanya tertumpu kepada keluarga atau rakan-rakan terdekat sahaja. Tetapi disunatkan juga untuk menziarahi saudara sesama islam yang tidak dikenali walaupun musuh sekalipun.
Namun, ramai yang tidak tahu atau lupa bahawa dalam menziarahi orang sakit juga mempunyai adab nya yang perlu dijaga. Di bawah ini admin kongsikan antara 5 Adab Menziarahi Orang Sakit yang boleh anda ikuti.
1. TUJUAN ZIARAH ADALAH IKHLAS KERANA ALLAH
- Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.
2. ZIARAH PADA WAKTU YANG SESUAI
- Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap melakukan ziarah kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit, malah juga kepada orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit. Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa.
3. UCAPKANLAH KATA-KATA YANG ELOK DAN BAIK
- Ucapkanlah kata-kata yang elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika ia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang.
4. DISUNATKAN UNTUK MENDOAKAN KESEJAHTERAAN ORANG SAKIT
- Disunatkan untuk mendoakan orang sakit supaya cepat sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya.
5. MENJAGA AURAT DAN BATAS PERGAULAN SEMASA MENZIARAHI ORANG SAKIT
-
Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkaraperkara keji, syak, fitnah dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan).
Sumber: SoalJawabAkhlak