Cara Mudah Mengatasi Stress

CARA MUDAH MENGATASI STRESS

 

 

Pada masa kini, masalah stress sentiasa berlaku dan menyerang tak kira siapa lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerjaya di zaman era moden ini yang mana setiap hari dihujani dengan bebanan kerja yang perlukan kepantasan seseorang untuk menyiapkannya.

 

Tahukah anda bahawa masalah stress ini boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan diri? Malah jika diri sendiri tidak dapat mengawal dan atasi ianya boleh membunuh. Bagi mereka yang sedang alami masalah stress ini, mereka perlu mengatasi masalah tersebut secepat mungkin untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa stress yang boleh memburukkan lagi kesihatan diri.

 

Terdapat beberapa langkah yang boleh anda ikuti bagi mengurangkan kesan buruk stress. Antaranya adalah :

 

#1 PEMAKANAN YANG BETUL

  • Mengambil pemakanan yang betul boleh membantu kita untuk menjalani kehidupan seharian dengan bertenaga. Pastikan anda makan mengikut waktu yang sepatutnya agar anda tidak mudah lesu dan tidak bermaya. Pada masa yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan. Jadi, pengambilan makanan yang betul boleh menyumbang kepada kesihatan diri yang baik.

 

#2 JANGAN MEMBEBANKAN DIRI

  • Jika anda tidak mampu, jangan buat. Kadang ramai diantara kita yang mempunyai cita-cita dan kemahuan yang tinggi di mana keinginan tersebut sebenarnya tidak mampu untuk diri kita capai. Jadi keadaan ini akan membuatkan diri kita dilanda masalah stress. Sangat penting bagi kita untuk mengelakkan diri dari mengambil tugas yang kita sendiri tidak mampu laksanakan. Jika dapat tugas yang besar, bahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan lakukan sedikit demi sedikit serta dahulukan yang mana penting. Jangan terlalu memikir dalam satu masa kita mahu menyiapkan kesemuanya. Dengan cara itu, ia dapat meringankan beban dan minda kita untuk terlalu banyak berfikir.

 

#3 REHAT YANG CUKUP

  • Rehat yang cukup juga amat penting untuk tubuh badan kita. Jangan terlalu focus terhadap sesuatu kerja sehinggakan tidak cukup tidur. Ini kerana badan kita perlukan tenaga untuk melakukan kerja harian. Jika tidak, badan yang letih dan juga kerja yang banyak itulah yang membuatkan kita stress. Cubalah ambil masa atau cuti untuk merehatkan badan dan minda kita. Cari masa untuk bersendirian dengan pergi ke tempat-tempat yang santai dan tenang bagi merehatkan minda dari berfikir hal kerja. Keadaan ini akan membantu dalam jangka masa yang panjang.

 

#4 BERINTERAKSI DENGAN KELUARGA DAN RAKAN

  • Jika anda mengalami masalah stress jangan biarkan diri anda menggalas bebanan atau masalah kerja itu seorang diri. Banyakkan interaksi dengan keluarga dan rakan sekerja misalnya bagi menceritakan masalah anda. Keadaan ini sebenarnya sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan stres kerana ada perkara yang sudah anda luahkan. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang bersama keluarga dan juga rakan-rakan. Dalam masa yang sama ianya akan menghilangkan kerunsingan dan membina pandangan positif untuk minda anda.

 

Semoga entry kali ini dapat memberikan manfaat untuk semua pembaca terutamanya yang selalu hadapi masalah stress. Apa yang penting, jagalah kesihatan diri anda kerana dengan tubuh badan yang sihat dapat membantu anda menghadapi kerja harian dengan positif.

 

Sumber: Kesihatan.biz