Menjelang Aidilfitri nanti, ramai suri mula mencongak sama ada mahu memperbaharui hiasan kediaman atau tidak. Jika berkemampuan, tidak salah untuk membeli segala barang baru tetapi jika perlu bercatu perbelanjaan, mungkin anda boleh tukar beberapa saja dekorasi untuk serlah suasana raya.
Jelita kongsi beberapa idea untuk anda jimat bajet kala menghias kediaman dengan satu atau dua item sahaja sudah memadai. Bajet yang diperlukan juga sekitar RM50 – RM500 jika anda bijak mencari barangan menarik serasi tema hiasan dan pada harga berpatutan.
Mulakan dengan soft furnishings. Ini termasuklah kusyen dan sarung kusyen, sofa dan sarung sofa, langsir, alas meja dan permaidani. Tak perlu beli yang mahal, menukar sarung kusyen saja sudah cukup untuk mengubah suasana ruang tamu walaupun langsir masih sama. Tetapi pastikan temanya masih sama atau kombinasi warna atau corak sepadan dengan barangan lain di ruang itu. Karpet pula jika sebelum ini banyak kerawang, pilih pula rekaan polos dengan warna yang compliment langsir.
Serikan dengan bunga. Untuk menaikkan seri ruang tamu atau ruang makan, cara paling mudah adalah dengan membeli bunga, sama ada bunga tiruan atau bunga segar. Kini ada banyak pilihan dan bunga tiruan boleh bertahan lama dan ditukar gubahannya. Bunga segar pula boleh dibeli sehari sebelum Aidilfitri untuk serlahkan mood di pagi raya. Cuma ia hanya boleh bertahan beberapa hari sebelum layu. Bazar raya selalunya akan membuat promosi menjual bunga hiasan, inilah masanya untuk anda serlahkan kreativiti dan skil tawar menawar!
Sertakan tumbuhan dalam kediaman. Selain bunga, tumbuhan hijau atau house plant boleh segera beri impak segar dalam rumah. Sama ada anda letakkan di bahagian bucu ruang tamu atau hujung koridor rumah. Pastikan anda tahu cara menjaganya juga dan kekerapan ia perlu disiram. Antara tumbuhan hijau yang boleh anda beli adalah pohon fiddle leaf fig, monstera, strelitzia nicolai dan rhapis palm.
Cat dinding dengan rona segar. Sudah sekian lama dengan dinding yang sama, kos untuk cat ruang tamu sederhana besar mungkin tidak memakan belanja besar dan anda boleh lakukannya sendiri untuk jimat upah. Secara tidak langsung kediaman terasa seperti baru dan warna yang dipilih juga perlu sepadan dengan dekorasi ruang tamu juga ya melainkan anda mahu menukar keseluruhan tema warna. Atau jika sebelum ini dinding berwarna, beralih kepada cat putih. Anda akan rasa ruang lebih luas dan lebih mudah untuk mendekorasi.
Aroma ruang menerima tetamu. Paling jimat adalah anda hanya perlu bersihkan ruang tamu dan ruang makan dan salin sarung kusyen dengan himpunan yang ada (kan baru juga jika setiap tahun bertukar sarung). Setelah mengemas, wangikan ruang dengan lilin beraroma atau penyegar ruang. Tentu tetamu masuk kediaman anda dengan senyuman girang. Bunga segar seperti ros juga dapat semarakan aroma rumah.
Tukar wall feature. Atau anda boleh tukar lukisan yang sudah menjadi titik tumpu ruang tamu atau dining hallanda selama ini. Tak perlu berbelanja besar beli lukisan dari galeri seni, di Ikea pun ada banyak pilihan cantik atau gunakan kreativiti dengan membingkai fabrik motif indah sebagai fokus ruang. Trik dekorasi moden adalah gabungan beberapa bingkai pelbagai saiz di satu dinding. Bingkai foto kegemaran anda dan ia bakal jadi bahan bualan tetamu yang datang berkunjung nanti.