Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadan.
Puasa bukanlah sesuatu yang membebankan dan perlu dikhuatiri. Selain daripada melatih rohani supaya menjadi lebih bersih, ia juga terbukti mendatangkan lebih banyak faedah daripada sudut kesihatan. Bulan Ramadan juga merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri sendiri. Secara tidak langsung, amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya.
Pada bulan Ramadan, umat Islam akan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Maka, apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita sering kali akan membeli atau memasak sahaja semua makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan.
Bulan Ramadan adalah sama seperti bulan-bulan lain tetapi bezanya kita makan pada waktu malam. Oleh sebab itu, sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut, di samping memastikan tubuh mendapat kalori yang mencukupi untuk keperluan seharian.
Memilih makanan yang sesuai pada bulan Ramadan adalah penting. Ini bagi membolehkan kita menikmati makanan yang sedap dan berkhasiat, di samping memperoleh semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Ia juga membantu mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh berpuasa.
Antara amalan pemakanan sihat yang boleh diamalkan semasa bulan puasa adalah :
1. Amalan Sewaktu Bersahur
- Amalan bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga ketika seharian berpuasa. Waktu bersahur yang digalakkan adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak.
- Semasa bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut dan oat.
- Makanan jenis ini memerlukan masa yang lama untuk dicerna dan mengurangkan rasa lapar. Karbohidrat kompleks mengambil masa kira-kira 8 jam untuk dicernakan sepenuhnya.
- Di samping itu, sertakan juga makanan daripada protein kerana struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan lagi proses pencernaan.
- Pilihlah protein yang rendah Biological Value (BV) kerana semakin rendah nilai BV, maka lebih lambat protein itu diguna pakai oleh badan. Antara yang disyorkan adalah :
– Kekacang (49)
– Soya (74)
– Ayam (79)
– Kasein/ Protein susu (80)
– Daging (80)
– Ikan (83) - Pengambilan buah-buahan dan air juga perlu mencukupi sewaktu sahur. Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
2. Amalan Sewaktu Berbuka Puasa
- Semasa berbuka puasa, adalah digalakkan kita mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita.
- Mulakan dahulu dengan buah kurma kerana ia mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera. Selain itu, buah kurma juga mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman untuk makanan yang kita makan seterusnya.
- Pelbagaikan pengambilan jenis makanan seperti bihun sup, sepinggan mi, atau nasi bersama ikan/ayam dan sayur-sayuran serta buah-buahan yang diambil berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.
- Selain itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup untuk mengelakkan dehidrasi.
- Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketidakselesaan kepada perut kita pada siang hari.
3. Amalan Sewaktu Moreh (Makan Lewat Malam)
- Mengambil snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich atau kuih-muih juga dibenarkan selepas bersembahyang tarawih tetapi jangan keterlaluan.
- Elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi/mi goreng kerana pada waktu malam kita tidak memerlukan tenaga yang banyak.
Di samping kuantiti, kualiti makanan juga perlu dititik beratkan. Ini bagi memastikan tubuh kita menerima kembali tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin serta mineral yang diperlukan oleh tubuh.
Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannya adalah mengikut resepi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba mengubahsuai diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.