5 ADAB PENTING DALAM BERSEDEKAH
UNTUK MEMBUKA PINTU REZEKI
“ Sedekah tidaklah mengurangi harta ” – (HR. Muslim)
Siapa cakap nak sedekah perlu tunggu kaya dulu? Salah tu.. nak kaya la kita kena rajinkan bersedekah. Kongsi kan rezeki yang ada pada mereka yang susah. Jangan anggap bila kita bersedekah duit kita akan habis. Tak perlu risau dengan sedekah kita yang sedikit. Biarpun sedikit, sekurangnya ia mampu meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan. Sangat susah kita nak tengok orang yang susah menolong orang susah, disitulah nikmatnya Islam.
Namun, hati-hati juga dengan adab bersedekah. Berikan sedekah dengan seikhlas hati bukan kerana terpaksa atau pun ingin dipuji dan dilihat oleh manusia kerana jika anda mempunyai sifat sedemikian ia akan merosakkan pahala amalan bersedekah anda. Sangat rugi.
Jadi, betulkan niat setiap amalan yang kita buat. Jaga adab-adabnya supaya tidak akan muncul perasaan riya’ kelak.
Antara Adab-Adab Bersedekah adalah:
1. Tangan di atas memberi lebih baik daripada tangan di bawah (menerima)
- Keadaan ini bermaksud, lebih baik kita memberi sesuatu kepada mereka yang memerlukan bantuan daripada kita menerima.
2. Ikhlas dalam bersedekah
- Wajib mengikhlaskan sedekah hanya kerana Allah dan demi mendapatkan keredhaan-Nya. Sedekah dengan menunjuk-nunjuk dan berbangga diri menyebabkan kerugian di Akhirat kelak. Jauhilah sifat Riya’.
3. Mendahulukan sedekah yang wajib
- Wajib atas seorang Muslim, apabila ia harus mengeluarkan zakat yang wajib dan telah tiba waktunya, agar mendahulukannya daripada sedekah yang sunnah. Itulah hukum asalnya. Sebab, menunaikan sedekah yang wajib termasuk rukun Islam. Allah tidak akan menerima amalan-amalan yang sunnah hingga ia mengamalkan amalan wajib. Amalan yang disukai Allah untuk mendekatkan diri kepada-Nya adalah dengan menunaikan kewajibannya.
4. Bersedekah dengan harta yang halal
- Niat sedekah sudah ada tapi hal penting yang anda perlu lakukan adalah dengan memastikan harta yang ingin disedekahkan itu halal kerana ia adalah antara sebab sedekah tersebut diterima oleh Allah dan membuahkan hasil.
5. Tidak mengungkit – ungkit sedekahnya
- Sebagai mana firman Allah “Wahai orang – orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekah mu dengan menyebut-menyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)..” (Surah al-Baqarah 2: 264)
- Orang yang bersedekah juga tidak seharusnya mengambil semula sedekah yang telah diberi kepada penerima. Jangan jadi seorang yang buruk siku kerana ia adalah antara sifat yang tidak disukai oleh Allah.
Sangat mudah sebenarnya untuk kita menjaga adab dalam bersedekah. Yang penting, betulkan niat sedekah kita adalh ikhlas kerana Allah dan bukannya kerana ingin menunjuk-nunjuk kerana amalan bersedekah inilah yang akan menjadi salah satu saham akhirat kita kelak.
Maka bersedekahlah ! kerana sebenarnya dalam rezeki kita juga ada rezeki orang lain.
Sumber: AkuIslam