Tips Bina Perniagaan Sendiri Yang Berjaya

MODAL PERNIAGAAN JANGAN DI USIK

Modal perniagaan adalah perkara utama yang mengerakkan sesuatu perniagaan, jadi larangan utama dalam bisnes atau perniagaan adalah tidak mengusik modal perniagaan. Modal perniagaan hendaklah di asingkan daripada wang peribadi dan keuntungan perniagaan. Sebaiknya membuat dua akaun bank berbeza antara wang syarikat dan wang peribadi. Perbelanjaan perniagaan hendaklah direkodkan dengan teratur dalam buku kira-kira.

DAPATKAN PENGALAMAN PERNIAGAAN DAHULU SEBELUM MULA BISNES

Pengalaman amat penting dalam sesuatu perniagaan kerana ianya adalah ilmu yang tidak di ajar di sekolah. Pengalaman ini boleh diperolehi apabila menjadi pekerja atau kuli dalam sesuatu perniagaan. Pengalaman bekerja ini adalah strategi keusahawanan secara praktikal untuk mendapatkan ilmu perniagaan, kemahiran asas dalam perniagaan dan sebagainya. Contohnya, jika mahu berniaga komputer, bekerja dan cari pengalaman di kedai komputer.

FOKUS PADA PERNIAGAAN

Sesuatu pekerjaan yang dilakukan atau sesuatu perniagaan mestilah fokus melakukannya dalam satu-satu masa. Jangan melakukan banyak kerja dalam satu-satu masa kerana akan menyebabkan hilang fokus. Sebaiknya pilih satu perniagaan yang tetap untuk sepanjang hayat seperti perniagaan barangan harian atau perniagaan emas dimana orang menggunakannya sepanjang masa tanpa dipengaruhi oleh peredaran zaman.

Fokus dalam perniagaan penting agar kita hanya di kenali dengan satu jenama perniagaan dan memiliki masa yang secukupnya.

PUSINGAN MODAL PERNIAGAAN

Modal pusingan menjalankan perniagaan adalah aspek penting supaya operasi perniagaan berjalan lancar. Ketidakupayaan pengurusan aspek kewangan ataupun kekukuhan modal pusingan boleh menyebabkan kepincangan dalam sesuatu perniagaan, jadi sesuatu perniagaan mestilah selari dengan modal pusingan ataupun keupayaan dari segi aspek kewangan. Keupayaan aspek kewangan hendaklah di ketahui dengan menyenaraikan semua aspek perbelanjaan operasi, peralatan dan sebagainya supaya mempunyai modal pusingan yang cukup bagi menjalankan perniagaan.

TAPAK PERNIAGAAN BERSESUAIAN

Tapak perniagaan adalah penting untuk menjalankan perniagaan dengan lokasi yang sesuai bergantung kepada jenis perniagaan, namun mestilah dielak kos yang terlalu tinggi dan sebaiknya elak dari menyewa kedai terutama bagi perniagaan yang baru dibina. Kini, zaman teknologi dan internet, tapak sesuatu perniagaan boleh dibina secara dalam talian melalui fan page, website dan sebagainya untuk mengembangkan perniagaan.

ELAKKAN MEMINJAM ATAU MEMBERI PINJAM

Petua berniaga supaya perniagaan berjalan lancar adalah dengan mengelak daripada meminjam wang atau memberi pinjam. Pinjaman akan menyebabkab proses perniagaan tergugat dan mengalami masalah. Perniagaan sebaiknya dimulakan tanpa pinjaman atau mengikut kemampuan modal, jika modal kecil perlu berniaga kecilan dahulu dan sebaliknya. Begitu juga dalam perniagaan jangan memberi pinjam supaya modal pusingan terus berjalan dan melicinkan perniagaan. Pengalaman saya berniaga dengan membekal garam kepada mini market dengan memberi pinjam memberikan masalah perniagaan terutama apabila kedai atau mini market menghadapi masalah hingga menjadi hutang hangus. Begitu juga memberi pinjam kepada rakan perniagaan akan memberi masalah mendapatkan balik pinjaman yang diberi kerana sememangnya sifat manusia manis apabila meminjam tapi pahit bayar balik pinjaman.

PEMASARAN PRODUK PERNIAGAAN

Teknik kembangkan perniagaan adalah dengan pemasaran produk perniagaan. Persiapan ilmu tentang produk, kegunaan dan keupayaan produk akan menjadikan perniagaan lebih mantap dan berkembang dengan mengembangkan pemasaran perniagaan secara online dan sebagainya. Kebanyakkan sesuatu perniagaan gagal disebabkan ketidakupayaan memasarkan produk walaupun produk itu baik. Pengalaman perniagaan saya dengan memasarkan produk secara offline dan online melalui website telah menyebabkan perniagaan berkembang.

TANGGUHKAN KEPUASAN

Sikap usahawan atau mindset usahawan mestilah diterapkan dalam perniagaan dengan menangguhkan kepuasan dalam perniagaan dengan berbelanja berlebihan dengan belian barangan susut nilai seperti membeli kereta baru dan sebagainya. Namun pembelian barangan yang bertambah nilai seperti tanah dan emas adalah baik sebagai sokongan modal perniagaan. Apabila perniagaan baru nak stabil, usahawan baru biasanya akan mulai gelap mata atau berlagak berjaya dengan membeli kereta mewah, perabot mewah dan sebagainya yang akan menambah kos dalam kehidupan dan memberi kesan kepada perniagaan. Kajian menunjukkan bahawa orang yang berjaya adalah orang yang sanggup menangguhkan kepuasan.

MENJIWAI PERNIAGAAN

Memulakan dan menjayakan sesuatu bisnes atau perniagaan memerlukan ketahanan psikologi yang tinggi untuk menanggung stress dan cabaran bisnes. Tiada benda yang mudah dan cepat di dalam dunia ini, kecuali skim cepat kaya yang mudah dan cepat miskin. Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang menjiwai perniagaan sepenuh hati dan jiwa usahawan ini akan dapat memacu untuk memulakan bisnes, mengatasi segala halangan dan berjaya dalam bisnes.